Wednesday, December 4, 2019

PERJALANAN MENJADI TETAMU ALLAH (MEMORI)

Perancangan untuk menjadi tetamuNya telah lama tertanam dihati. Sejak dari tahun 2008 lagi aku ingin menjadi tetamuNya tetapi setelah semua persiapan dibuat, rupanya Allah masih belum sudi untuk menjemput aku. Kata Ustaz Musa (ustaz tempat aku mengaji), untuk menjadi tetamuNya, kita perlukan jemputan, sebab itu disebut "Tetamu". Bila segala persediaan telah dibuat tetapi masih belum dapat ke sana, jangan marah, jangan kecewa tapi teruskan berdoa supaya Allah sudi menjemput kita. Dan sesungguhnya, bila perancangan kesana pada tahun 2008 tidak menjadi, tiada sedikitpun rasa marah atau geram, tetapi redha meskipun duit yang dikeluarkan tidak dikembalikan. Patutnya aku perlu rasa marah tapi rasa itu langsung tidak timbul. Yang aku mohon untuk dikembalikan adalah pasport antarabangsa aku...itupun rasanya makan masa bertahun (tahun 2010 baru dapat rasanya)

Tahun demi tahun perancangan terus dibuat. Target sebelum umur 30 tahun hendak menjadi tetamuNya. Tapi masih belum ada jemputan dan aku merancang untuk melancong. Bandung dan Jakarta menjadi destinasi pertama, destinasi kedua adalah Krabi, Phuket dan Hatyai dan pada tahun yang sama ke Bali. Kemudian bila perancangan untuk menjadi tetamuNya masih kabur, aku telah ke Korea. Namun perasaan untuk ke sana terlalu tinggi. Aku mengajak emak dan ayah ikut serta kerana perancangan kami untuk menunaikan haji juga masih belum ada keputusan dan Kak Bib juga nak ikut serta. Sekembali dari Korea, aku tekad untuk ke Tanah Suci walau waktu itu masih belum ada jawapan dari mak ayah. Dalam pada perancangan dibuat, aku dimaklumkan bahawa bagi yang masih bujang, mahram diperlukan dan seharusnya ayah perlu bersama-sama dengan aku. Sampai penghujung tahun 2013, masih belum ada jawapan dari mak dan ayah, namun hati berkobar untuk ke sana dan pada bulan Disember 2013, aku telah menghubungi Tahung Haji untuk mengetahui mengenai jemputan haji untuk tahun 2014 dan dukacita, nama aku dan mak ayah tiada dalam senarai tetamu Allah untuk haji tahun 2014. Aku maklumkan pada ayah dan sekali lagi suarakan untuk menunaikan Umrah. Namun belum ada jawapannya.

Doa yang tak pernah putus akhirnya dimakbulkan bila mak tanya, confirm ke nak pi Umrah tahun ni dan bila dengar mak cakap macam tu..seronok usah cerita. Pada mak, aku katakan aku akan uruskan semua. Masa tu dalam bulan Januari 2014. Lepas tu aku mesej Mak Ngah yang saban tahun menjadi tetamu Allah. Perancangan untuk kesana pada awal bulan April. Semua urusan dipermudahkan dan tiada ahli keluarga yang tahu dan bila semua dokumen dah settle, baru dimaklumkan kepada abang dan kak kemudian berita untuk ke sana tersebar. Bukan niat untuk berahsia tetapi bimbang andai Allah masih belum mahu menerima aku, menerima aku insan yang terlalu banyak dosa. Mak Ngah pesan suruh banyakkan solat taubat, mohon Allah terima kita

BLOG BERSAWANG

Bertahun lamanya saya meninggalkan blog tanpa sebarang update. Catatan terakhir 2013. Lama sungguh saya tak menulis sehingga saya rasakan tangan makin kaku untuk menulis, idea makin buntu. Banyak kenangan yang terlepas begitu sahaja tanpa sebarang update. Azam baru saya, moga blog ini tidak bersawang lagi😍😍😍